Thursday, June 4, 2009

Kawad Statik

BAB KEDUA
KAWAD STATIK

BAHAGIAN SATU

SEDIA

Hukumannya :

"Skuad ..............Sedia"

Perbuatan :
Dengan pantas angkat kaki kanan, peha 45 darjah dan hentak padat di sebelah kaki kiri supaya terdengar satu bunyi sahaja. Kedudukannya ialah kedua-dua tumit rapat dan sebaris; hujung kaki terbuka 30 darjah; kedua-dua lutut bertahan lurus; badan tegak; timbang keberatan badan antara tapak kaki dengan tumit; kedua-dua bahu tarik ke bawah dan ke belakang (supaya dada terbuka tanpa perlu dikeraskan) sama rata; kedua-dua tangan lurus ke bawah; kedua-dua siku rapat ke badan ; pergelangan tangan lurus; jari-jari genggam; belakang jari rapat ke paha, ibu jari lurus menghala ke bawah dan rapat kepada telunjuk serta di belakang sedikit daripada penjahitan seluar; langut kepala memandang terus ke hadapan.



BAHAGIAN II
SENANG DIRI

Hukuman :

"Senang ..................Diri"

Perbuatan :

Dengan pantas angkat kaki kanan, peha 45 darjah dan hentak ke sebelah kanan sejauh 12 inci. Dalam masa yang sama kedua-dua tangan ke belakang dan letakkan belakang tangan kanan rapat di atas tapak tangan kiri, ibu jari bersilang, empat-empat jari bersusun lurus menuju ke bumi , siku lurus, dan keberatan badan di atas kedua-dua kaki. Masa angkat kaki kanan, kaki kiri mesti tegap dan tidak bergerak.

BAHAGIAN III
REHATKAN DIRI

Hukuman :

"Rehatkan ................Diri"

Perbuatan:

Dalam kedudukan senang diri, naikkan tangan dari punggung ke pinggang dalam satu pergerakan dan rehatkan semua anggota badan ( 1 , 2 , rehat ) Kedudukan kaki tidak berubah.

BAHAGIAN IV

MASUK BARIS

Arahan masuk baris :

"Dengar sini semua sekali, apabila mendapat hukuman tiga barisan di hadapan saya gerak, skuad hendaklah sedia, berlari, berbaris dalam tiga barisan, di hadapan, di tengah-tengah, di mana saya mengadap. Faham itu skuad".

Hukuman :

"Tiga Barisan Di hadapan Saya ............. Gerak"

Perbuatan :

Semua anggota hendaklah sedia, berlari dengan pantas, berbaris dalam tiga barisan kira-kira 6 langkah di hadapan ketua/jurulatih iaitu setiap orang mestilah mengambil tempatnya, barisan hadapan, barisan tengah dan barisan belakang. Jarak di antara satu barisan dengan yang lain ialah 30 inci. Jarak di dalam barisan di antara seorang dengan yang lain ialah sekadar satu tangan dan dalam keadaan sedia.

BAHAGIAN V
MEMBETULKAN BARISAN

Hukuman:

" Ke kanan ............ Lurus"

Perbuatan:
Penanda kanan diam. Yang lain langkah* kaki kanan 6 inci ke hadapan dan angkat kaki kiri serta hentak disebelah kaki kanan, kedua - dua tangan lurus dan rapat ke badan. Diam dan kira masa sendiri (2-1). Kemudian palingkan muka ke kanan; melainkan anggota yang nombor satu dalam setiap barisan; serentak dengan itu anggota dalam barisan hadapan angkat tangan ke paras bahu melalui sebelah belakang anggota di kanannya, jari genggam dalam keadaan ibu jari di kedudukan atas mencecah bahu anggota di sebelah kanan. Diam dan kira masa sendiri, (2-1), diikuti dengan hentak kaki ”pendek – pendek” sehingga barisan lurus.

Penanda kanan hendaklah diam. Anggota di sebelah kanan barisan tengah dan barisan belakang hendaklah mengangkat tangan sekadar menyentuh bahu anggota di hadapannya. Setiap barisan ini hendaklah berdiri bersetentang dengan anggota - anggota di hadapan. Sesudah barisan lurus, semua diam dan tunggu hukuman pandang depan.

*julur

Hukuman:

''Pandang.............depan''

Perbuatan:
Palingkan muka ke hadapan dan turunkan tangan ke sebelah rusuk serentak dengan pantas.

Hukuman:

”Ke Kiri…… Lurus”

Hukuman ini diberi apabila skuad menghadap ke belakang dan penanda berada di sebelah kiri.
Perbuatannya adalah sama dengan ke kanan lurus kecuali semua anggota akan palingkan muka ke kiri dan angkat tangan kiri. Penanda di sebelah kiri hendaklah diam.

Kita boleh memberi nombor sama ada dari kiri atau kanan.



Hukuman :

"Luruskan ............ Barisan"

Perbuatan :

Pergerakan seperti di atas juga tetapi tidak perlu melangkah ke hadapan, cuma hentakkan kaki kanan dan kiri berturut-turut dan terus bergerak betulkan barisan. Apabila barisan telah lurus , turunkan tangan dan palingkan muka ke depan dalam masa sendiri. Barisan tengah dan barisan belakang hendaklah mengikuti anggota hadapan.


BAHAGIAN VI
NOMBOR

Permulaan pelajaran, skuad hendaklah dinomborkan supaya menyenangkan jurulatih memanggil anggota. Dari itu memadai dengan memanggil “Nombor.......... barisan ..................” saja. Anggota juga tahu kedudukannya dalam skuad.


Hukuman :

" Dari kanan ...........Nombor"

Perbuatan :

Barisan hadapan sahaja yang membilang nombor dengan pantas dari kanan ke kiri. Anggota yang di sebelah kanan sekali bilang "satu" , yang lain mengikut bilang "dua" dan seterusnya sehingga habis.





BAHAGIAN VII
BUKA / TUTUP BARISAN

Hukuman :

"Buka Barisan .................Gerak".

Perbuatan :

Barisan hadapan ambil dua langkah ke hadapan, iaitu langkah kaki kanan ke hadapan 30 inci dan kaki kiri 15 inci, kemudian angkat kaki kanan dan hentak di sebelah kaki kiri kepada kedudukan sedia. Barisan belakang ambil dua langkah ke belakang mulai kaki kanan diikuti kaki kiri, kemudian angkat kaki kanan dan hentak di sebelah kaki kiri kepada kedudukan sedia. Masa bergerak bilang;
(1-2-1)



Hukuman :

"Tutup Barisan.......Gerak".

Perbuatan :

Barisan hadapan ambil dua langkah ke belakang dan barisan belakang ambil dua langkah ke hadapan. Pergerakannya adalah serupa seperti "Buka Barisan......Gerak".



BAHAGIAN VIII

BERPUSING KE KANAN/ KIRI/ BELAKANG

Hukumannya :

”Bergerak ke kanan, kanan ........ Pusing".

Dengan menetapkan kedua-dua lutut lurus, hendaklah berpusing sebanyak 90 darjah ke kanan, di atas tumit kaki kanan dan hujung kaki kiri dengan mengangkat hujung kaki kanan dan tumit kaki kiri. Apabila sampai ke hala yang baru tapak kaki kanan terletak atas bumi menyerong ke kanan dan tumit kaki kiri terangkat. Kedua-dua lutut lurus, badan tegak seperti kedudukan sedia . Keberatan badan di atas kaki kanan. Angkat kaki kiri dan hentak di sebelah kaki kanan dengan pantas kepada kedudukan sedia.


Hukumannya,

”Bergerak ke kiri, Kiri .......Pusing".

Dengan menetapkan kedua-dua lutut lurus, hendaklah berpusing sebanyak 90 darjah ke kiri, di atas tumit kaki kiri dan hujung kaki kanan dengan mengangkat hujung kaki kiri dan tumit kaki kanan. Apabila sampai ke hala yang baru tapak kaki kiri terletak atas bumi menyerong ke kiri dan tumit kaki kanan terangkat. Kedua-dua lutut lurus, badan tegak seperti kedudukan sedia . Keberatan badan di atas kaki kiri. Angkat kaki kanan dan hentak di sebelah kaki kiri dengan pantas kepada kedudukan sedia.







Hukumannya :

Menghadap ke belakang , "Belakang ......Pusing".
Menghadap ke hadapan , "Belakang ......Pusing".

Dengan menetapkan kedua-dua lutut lurus, hendaklah berpusing 180 darjah mengikut pusingan jam ( ikut bahu kanan ) , di atas tumit kaki kanan dan hujung kaki kiri dengan mengangkat hujung kaki kanan dan tumit kaki kiri. Apabila sampai ke hala yang baru tapak kaki kanan terletak atas bumi menyerong ke kanan dan tumit kaki kiri terangkat. Kedua-dua lutut lurus, badan tegak seperti kedudukan sedia . Keberatan badan di atas kaki kanan. Angkat kaki kiri dan hentak di sebelah kaki kanan dengan pantas kepada kedudukan sedia.
Kesalahan Biasa:
1. Tangan tidak rapat ke badan
2. Hentak kaki tendang kuda.
3. Membongkok
4. Lutut bengkok
5. Angkat peha melebihi 45 darjah.
6. Badan melonjak ketika berpusing

BERPUSING SEPARUH KANAN/KIRI

Hukumannya:
”Bergerak ke kanan, separuh kanan ........ Pusing".
”Bergerak ke kiri, separuh kiri .......Pusing".

Pergerakan sebagaimana berpusing kanan/kiri tetapi separuh kanan/kiri sahaja ( 45 darjah )







BAHAGIAN X
BERSURAI DAN KELUAR BARIS

Hukuman :

"Ber..............surai".

Perbuatan :

Skuad itu hendaklah dalam keadaan tutup barisan , pusing ke kanan, hentak kaki kiri di sebelah kaki kanan, hormat sekali terus melangkah mulai kaki kanan ke hadapan tiga langkah dalam masa cepat ; terus bersurai.

Ingatan :

Jika bertongkat, hendaklah dibawa tongkat itu ke kedudukan kepit sebelum memberi hormat. Anggota yang tidak bertongkat ikut kiraan masa anggota yang bertongkat.

Perhatian:
Jangan disangkakan bersurai itu perkara kecil, bersurai ialah memberi hormat kepada pegawai. Dengan sebab itu jurulatih hendaklah memerhatikan pergerakan hormat dilakukan dengan sempurna.

Hukuman :

"Keluar ............... Baris"

Berbeza dengan bersurai, keluar baris bermaksud aktiviti belum tamat, malah bersurai sementara sahaja dan hormat tidak dikehendaki. Anggota tidak boleh beredar dari padang kawat atau kawasan latihan.

















BAHAGIAN XI
PARAS

Paras boleh dilakukan seperti berikut :

1.Anggota tinggi di sebelah kanan , anggota rendah di sebelah kiri.
2.Anggota rendah di sebelah kanan, anggota tinggi di sebelah kanan.
3.Anggota rendah di tengah-tengah.
4.Anggota tinggi di tengah-tengah

Hukuman :

"Yang tinggi ke kanan, rendah ke kiri, dalam satu barisan ..........paras".

Perbuatan :

Semua anggota membuat perbuatan keluar baris dan berbaris semula dalam satu barisan mengikut ketinggian masing-masing dan berdiri dalam keadaan sedia.

"Dari kanan........... Nombor"
Skuad itu hendaklah menghitung nombor dari kanan ke kiri.

"Nombor ganjil satu langkah ke hadapan, genap satu langkah
ke belakang...........gerak".

Jurulatih hendaklah memeriksa pergerakan.

"Orang yang di sebelah kanan sekali diam, nombor ganjil ke
kanan, genap ke kiri , barisan kanan dan kiri ..........pusing".

Anggota nombor satu diam, lain-lain anggota hendaklah berpusing seperti yang diperintahkan.

"Jadikan tiga barisan, .........cepat jalan".

Skuad itu dijadikan tiga baris. Anggota nombor dua menjadi nombor satu barisan tengah. Anggota nombor tiga menjadi nombor satu barisan belakang. Anggota nombor empat jadi nombor dua barisan hadapan dan seterusnya. Apabila berhenti di tempat masing-masing hendaklah berpusing ke hadapan bertiga-tiga setelah mendapat isyarat ”up” dari anggota barisan belakang. Isyarat ”up” diberikan sekali lagi untuk pergerakan senang diri.



Ingatan :

Jika dikehendaki kedudukan skuad itu tinggi di sebelah kanan dan rendah di sebelah kiri, hukumannnya :

"Orang yang di sebelah kanan sekali diam, yang lain bergerak ke kanan, kanan ............pusing".

" Jadikan tiga barisan..........cepat jalan"

( iaitu semasa mereka di dalam satu barisan ), maka skuad hendaklah membuat pergerakan seperti di atas.


Hukuman :

"Yang rendah ke kanan, tinggi ke kiri, dalam satu barisan ..........paras".

Perbuatan :

Semua anggota membuat perbuatan keluar baris dan berbaris semula dalam satu barisan mengikut ketinggian masing-masing dan berdiri dalam keadaan sedia.

"Dari kanan........... Nombor"
Skuad itu hendaklah menghitung nombor dari kanan ke kiri.

"Nombor ganjil satu langkah ke hadapan, genap satu langkah ke belakang...........gerak".

Jurulatih hendaklah memeriksa pergerakan.

"Orang yang di sebelah kanan sekali diam, nombor ganjil ke kanan, genap ke kiri , barisan kanan dan kiri ..........pusing".

Anggota nombor satu diam, lain-lain anggota hendaklah berpusing seperti yang diperintahkan.

"Jadikan tiga barisan.........cepat jalan".

Skuad itu dijadikan tiga baris. Anggota nombor tiga menjadi nombor satu barisan tengah. Anggota nombor lima menjadi nombor satu barisan belakang. Anggota nombor tujuh jadi nombor dua barisan hadapan dan seterusnya. Apabila berhenti di tempat masing-masing hendaklah berpusing ke hadapan bertiga-tiga setelah mendapat isyarat ”up” dari anggota barisan belakang. Isyarat ”up” diberikan sekali lagi untuk pergerakan senang diri.
Ingatan :

Jika dikehendaki kedudukan skuad itu rendah di sebelah kanan dan tinggi di sebelah kiri, hukumannnya :

"Orang yang di sebelah kanan sekali diam, yang lain bergerak ke kanan, kanan ............pusing".

" Jadikan tiga barisan..........cepat jalan"

( iaitu semasa mereka di dalam satu barisan ), maka skuad hendaklah membuat pergerakan seperti di atas.

No comments:

Post a Comment